MUSIBAH MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT

Sidang jumaat yang dikasihi,

Marilah kita semua bertakwa kepada Allah S.W.T dengan mengerjakan suruhanNya dan menghindari laranganNya.Antara suruhannya yang jelas nyata ialah menunaikan solat jumaat bagi setiap umat Islam. Allah berfirman dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 9:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat,maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu,jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”.

Ayat ini jelas menunjukkan suatu kewajipan mingguan umat Islam iaitu segera menyahut panggilan solat Jumaat . Mereka wajib meninggalkan premis perniagaan atau pejabat dan pekerjaan mereka demi untuk menghadirkan diri ke masjid dan demi solat fardhu Jumaat.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Menghadirkan solat jumaat itu adalah kewajipan setiap orang yang telah cukup umur baligh”.

(Riwayat An-Nasa’i)

Tetapi apa yang merunsingkan kita akhir-akhir ini ialah semakin bertambah bilangan orang yang tidak menunaikan solat Jumaat . Begitu juga semakin ketara orang yang mensia-siakan kewajipan ini . Pada hal perkara itu sudah lama menjadi kewajipan . Allah telah mewajibkan setiap umat Islam untuk menunaikan solat-solat tertentu secara harian dan mingguan sebagai fardhu ain yang mesti dilaksanakan demi membangun sifat-sifat kemanusiaan yang baik dan utuh dalam jiwa mereka . Tanpa solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat orang islam akan runtuh sifat-sifat keislaman mereka.Iltizam mereka terhadap syariat Islam akan menjadi luntur.Mereka akan mudah berubah menjadi peruntuh sendi kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesiapa yang meninggalkan solat fardhu secara sengaja maka dia kafir terang-terangan”.

(Riwayat At-Tabrani)

Malah dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995,seksyen 20:

“Mana-mana orang lelaki ,yang baligh,yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syar’i atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

Oleh itu menjadi tanggungjawab,kepada setiap ibu-bapa dan guru-guru serta para pemimpin masyarakat berusaha memastikan anak-anak lelaki,pelajar-pelajar dan seluruh umat Islam tidak mengambil mudah tentang amalan solat Jumaat.

Sidang jumaat yang dikasihi,

Hari Jumaat adalah hari yang mulia dalam Islam . Ia dianggap penghulu segala hari.Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Sesiapa yang berwudhuk kemudian dia pergi (ke masjid untuk menunaikan) solat Jumaat dan mendengar khutbah imam maka akan diampunkan dosanya hinggalah ke Jumaat selepas itu dan ditambah tiga hari lagi.Siapa yang asyik bermain-main maka solatnya menjadi sia-sia”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Penghulu segala hari adalah hari Jumaat.Hari yang paling mulia di sisi baginda dan yang paling agung disisi allah azzawajalla,maka lebih (mulia) daripada hari raya Fitrah dan hari Eidul Adha”.

(Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain,Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat,hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat.Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan lebih afdhal daripada hari Jumaat.

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi yang bermaksud:

“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila berdoa kepada allah sesuatu kebaikan Allah akan memakbulkan doanya. Atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan, Allah melindunginya daripada kejahatan tersebut”.

(Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Maka sebab itu digalakkan umat Islam beriktikaf di masjid pada hari jumaat itu.Khasnya untuk dapat menepati waktu istijabah atau waktu dimana doa seseorang itu akan dimakbulkan oleh Allah . Inilah yang diharapkan oleh setiap orang yang melakukan dosa setelah insaf dan mahu mencari keampunan serta keredhaan allah azzawajalla.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

-“Sesiapa yang mandi junub pada hari Jumaat kemudian dia hadir (solat Jumaat pada saat pertama), dia umpama berkorban seekor unta”.

-“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu”.

-” Barang siapa yang mengahdiri solat Jumaat pada saat yang ketiga,dia seperti berkorban seekor kibasy yang bertanduk.

-“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat,dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima,dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur”.

“Apabila imam tampil (naik minbar) maka para malaikat pun turut bersedia mendengar khutbah dan peringatan”.

(Hadis sahih riwayat Al-Bukhari)

Baginda menegaskan lagi:

“Siapa yang sempat solat Jumaat maka baginya di sisi allah seratus pahala orang yang mati syahid”.

Rahsia mengapa Allah jadikan hari jumaat ini penghulu segala hari ialah kerana Islam menjadikan hari Jumaat sebagai hari menghampirkan diri kepada Allah secara berjemaah dan secara mingguan.Pada hari ini digalakkan umat Islam menjadikannya hari cuti mingguan agar mereka mempunyai masa yang cukup untuk membina ciri-ciri sahsiah yang baik dan murni . Tidak terlari-lari dan termengah-mengah mengajar waktu untuk melakukan kerja – kerja lain.

Pada hari itu khasnya,anak-anak dilatih pergi bersama ayah mereka ke masjid untuk dibudayakan dengan amalan bersolat Jemaah dan Solat Jumaat dalam masjid kariah.Dengan itu mereka boleh datang awal ke masjid untuk beriktikaf,solat sunat,membaca Al-Quran,berdoa,belajar dan sebagainya.Rasulullah S.A.W. bersabda,seperti yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id Al-Khudri bermaksud:

“Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat,Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat”.

Apabila proses tarbiah harian dan didikan mingguan ini berjalan dengan mantap,baik dan berkesan,umat akan mendapat faedah daripada peningkatan modal kemanusiaan,rohani,akli dan akhlak . Setiap individu akan menyedari dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh allah kepada mereka . Dengan itu masalah masyarakat akan dapat dikurangi dan kehidupan akan lebih tenteram dan selamat . Sebaliknya pengabaian tentang solat jumaat dan pendidikan mingguan ini akan menyebabkan umat semakin alpa tentang tanggungjawab mengasuh diri dan keluarga . Manusia akan lebih berani melakukan kejahatan melawan allah dan meruntuhkan sendi kerukunan hidup bermasyarakat . Dengan ini bermakna mereka menempah bala dan kecelakaan.

Sidang Jumaat yang dikasihi.

Hari ini kita dapati semakin ramai umat Islam yang meninggalkan solat Jumaat .Ada yang leka menjamu selera dan berbual-bual di kedai kopi ketika orang lain sedang menunaikan fardhu Jumaat . Ada yang mengambil kesempatan balik tidur di rumah tanpa merasa berdosa meninggalkan solat Jumaat . Ada pula yang pergi ke masjid tetapi tidak mahu menunaikan solat,sebaliknya bertenggong diatas tembok,basikal dan motorsikal tanpa merasa bersalah . Mereka pulang bersama orang yang bersolat Jumaat pulang.Mereka tidak sedar bahawa hukum meninggalkan solat Jumaat walaupun sekali adalah berdosa besar . Allah telah menjanjikan hukuman yang berat kepada manusia seperti ini.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Jika kita tidak menunaikan solat Jumaat hati kita akan ditutup rapat dan tidak dapat lagi menerima kebaikan dan hidayah . Kita juga akan terpinggir dari rahmat Allah . Malah kita akan digolongkan bersama orang-orang yang munafik . Orang munafik ini menurut firman Allah dalam surah An-Nisa’ bakal dihumban ke dalam neraka yang paling bawah,di dasar jahanam . Alangkah malang dan hinanya nasib manusia yang tidak mahu menunaikan solat Jumaat ini . Allah berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 145:

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu di tetapkan pada tingkatan yang paling bawah di kolong neraka . Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka”.

Kaum muslimin yang dikasihi,

Pihak berkuasa di Negeri Selangor telah mengeluarkan arahan dan hukuman tertentu tentang perkara ini . Pihak penguasa agama akan memantau dan memastikan orang-orang yang tidak menunaikan solat Jumaat ini agar dihukum dengan hukuman yang setimpal . Nama mereka akan ditiadakan dari senarai golongan yang berhak mendapat bantuan zakat atau bantuan khas.Mereka akan dikenal pasti untuk dikenakan tindakan disiplin yang sesuai menurut siasah syariat.

Sebagai umat yang beragama Islam kita mesti menghormati hari Jumaat sebagai hari besar Islam . Hari yang penuh berkat dan rahmat . Kelebihan hari ini disebutkan oleh Rasulullah dalam hadis baginda yang bermaksud:

“Siapa yang meninggal dunia pada hari jumaat atau malamnya nescaya Allah akan melafaskan dirinya dari azab kubur (pada hari itu)”.

Ini jelas menunjukkan betapa Islam menekankan kepentingan solat Jumaat dan keperluan mengikuti bimbingan yang disampaikan oleh khatib dalam khutbahnya . Dengan istiqamah menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah,membaca Al-Quran dan mengikuti tazkirah sebelum khutbah sudah pasti seseorang itu akan lebih berilmu pengetahuan dan lebih peka dengan segala ajaran agama . Dengan itu Insya Allah ia akan berada dalam inayah dan rahmat Allah.

“Dan (ingatlah),sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh,akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir di bahunya beberapa sungai,kekollah mereka kekal di dalamnya selama-lamanya . Sesungguhnya Allah(dengan yang demikian) telah mengurniakan kepadanya sebaik-baik rezeki pemberian”.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Kesimpulan khutbah kita pada hari ini ialah menghadiri solat Jumaat adalah fardhu ain atau wajib menurut empat mazhab ahli sunnah waljamaah.Siapa yang mengatakan selain daripada itu adalah bercanggah dengan pendapat yang disepakati oleh ulama yang muktabar.Meninggalkan Jumaat akan mengakibatkan seseorang itu di jumlahkan dalam kalangan insan munafik.Manakala munafik akan menghuni neraka yang paling bawah.

Ya Allah,engkaulah Tuhan yang maha berkuasa,kami bersyukur kehadrat Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,sehingga kami dapat meneruskan ke arah memperkukuhkan negara umat islam khususnya Negeri Selangor,sebagai Negeri yang maju,sejahtera dan berkebajikan .Justeru kami pohon kehadrat Mu Ya Allah, tetapkanlah iman kami,tingkatkanlah amal kami,kukuhkanlah perpaduan kami,murahkanlah rezeki kami,kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia,kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai,lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar,kemarau panjang,wabak penyakit,persengketaan,kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian,Negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Sumber : JAIS
Jot’s :: Renungkanlah…
footer